Saturday, December 5, 2009

Lambaian Kaabah



Lambaian Ke Tanah Suci
oleh
Hajah Amanah Haji Mohd Noor

Labbaik Allahuma Labbaik
Labbaik ka la Syarii ka Labbaik
Innal Hamda, Wa Nikmata
Laka wal mulk, La syarikala

Seruan yang memang aku sukai sejak aku kanak-kanak lagi dan kini aku sendiri melafazkannya sepanjang perjalanan menunaikan ibadat hajiku.

Setelah dua kali pemergian hajiku tertangguh, kini akhirnya Allah s.w.t menerima kehadiranku sebagai tetamu-Nya mulai 1 jan 2006 sehingga 10 Feb 2006.

Pemergianku tanpa diiringi suami atau ahli keluarga juga teman-teman. Risau juga bila memikirkannya, namun aku sentiasa berdoa agar Allah memudahkan perjalanan hajiku dan moga aku mendapat haji yang mabrur. Juga aku memohon agar Allah menemukan aku dengan rakan-rakan sekamar yang peramah dan saling bertoleransi.

Aku mengikuti pakej Mitra Kembara yang dipimpin oleh Ustaz Ir. Haji Abdul Halim bin Haji Abdullah. Ustaz Halim memang terkenal di kalangan jemaah dan petugas-petugas Tabung Haji. Tepat jam 11.00 malam 31 Dis 2005 (penerbangan kedua akhir) dalam hujan renyai dan lambaian suami, anak dan kaum keluarga, aku bersama-sama 80 orang ahli pakej dengan menaiki tiga buah bas transnasional, kami bertolak ke Kelana Jaya.

Allah s.w.t memakbulkan doaku. Urusan pendaftaran masukku amat mudah tanpa beratur panjang. Segala begku diuruskan oleh biras sepupuku yang kebetulan bertugas pada malam itu, malah aku diberikan tempat duduk di kelas pertama dalam penerbangan Saudi Airline , SV 40 itu. Mula-mula risau juga kerana terpisah daripada rakan sepekej tetapi apabila terpandang Ustaz Halim di tempat yang sama, barulah hatiku tenteram. Sepanjang lapan jam penerbangan aku hanya berzikir dan terbayang-bayang Kaabah yang bakalku tatap tak lama lagi.

Kami sampai di Lapangan Terbang King Abdul Aziz Jeddah lebih kurang jam 9.30 pagi. Urusan imigresen berjalan lancar tanpa apa-apa masalah. Kisah yang pernahku dengar, imigresen ini boleh ambil masa berjam-jam. Alhamdulillah kami tidak mengalaminya dan aku membuat kesimpulan pihak berkuasa Arab Saudi telah memperbaiki mutu perkhidmatanya.

Setelah berehat di kawasan yang ditetapkan oleh pihak Tabung Haji, para jemaah menaiki bas mengikut nombor yang ditentukan untuk ke Makkah. Semuanya berjalan lancar dan kini aku dalam perjalanan ke Makkah-tul-Mukarramah.

Makkah-tul-Mukarramah
Antara keajaiban ciptaan Allah SWT ialah Dia telah membuat hati manusia cenderung untuk menziarahi tempat-tempat suci-Nya serta rindu untuk berada di situ. Dia telah mengukuhkan cinta tersebut dalam hati mereka sehingga menggenggam seluruh jiwa raga dan tidak dapat berpisah dengan tempat-tempat suci-Nya melainkan dengan perasaan sedih serta kecewa yang amat dalam. Rindu mereka pun membara dan mereka berazam untuk berkunjung semula dalam kesempatan yang lain. Bumi tempat-tempat suci yang berkat itu menjadi tumpuan mata dan cinta manusia. Itulah hakikat yang memaparkan kebijaksanaan Allah SWT yang Maha Tinggi yang membenarkan doa kekasih-Nya, a.s.(*ini merujuk doa Nabi Ibrahim a.s. sebagaimana yang termaktub dalam Surah Al-Baqarah:127-12)
Keasyikan rindu mereka menyebabkan tempat-tempat suci tersebut terasa dekat biarpun masih jauh perjalanannya. Rindu juga menampilkan ia di ruangan mata meskipun tempat-tempat itu masih belum kelihatan serta memudahkan pengunjungnya mengharungi segala kepayahan dan kesulitan yang dihadapinya untuk sampai ke situ. Betapa banyak orang lemah yang diancam oleh maut sebelum sempat sampai ke tempat-tempat suci tersebut dan ditimpa malapetaka dalam perjalanan untuk sampai ke situ. Namun, ketika Allah membolehkan ia sampai dengan selamat ke tempat-tempat suci-Nya, orang itu menyambutnya dengan riang gembira, seolah-olah ia tidak pernah mengecap kepahitan atau menanggung kesulitan kerananya.

Cetusan rasa indah Ibn Batutah tentang Makkah ini amatlah benar kerana aku telah merasai perasaan tersebut. Betapa kita dengan sepenuh hati sanggup berkorban wang ringgit untuk menjadi tetamu Allah. Sanggup meninggalkan anak-anak dan keluarga selama empat puluh hari demi bertemu Allah. Juga menghadapi suasana yang bersesak-sesak semuanya kerana Allah.

Betapa amannya hati ketika di Makkah, bandar suci untuk umat Islam. Semuanya muslim di sini. Sepanjang masa di Makkah ( kira-kira 34 hari) aku amat tenteram sekali. Tak ada apa yang ada dalam kepala kecuali ke masjid untuk beribadat. Semasa aku sampai di Makkah, hampir masuk waktu zuhur. Satu pemandangan yang luar biasa bagiku apabila melihat berduyun-duyun umat manusia menuju Masjidil Haram untuk bersolat. Pemandangan yang hanya terdapat di Makkah. Bas yang kami naiki juga terhenti menuju ke hotel kerana jalan ditutup untuk memberi laluan kepada jemaah yang berjuta itu ke masjid. Sana sini kelihatan umat manusia yang pelbagai rupa dan warna tetapi dengan satu tujuan yang sama iaitu menunaikan ibadat haji.

Masjidil haram sungguh besar dan unik, setiap waktu solat dipenuhi dengan jemaah. Hanya Allah yang mengetahui jumlahnya. Walaupun juataan manusia yang memasukinya pada waktu yang sama untuk bersolat namun ruang untuk kita sentiasa ada. Begitu juga tempat menyimpan kasut, sentiasa ada sahaja ruang yang kosong, membolehkan aku menyimpan kasutku tanpa ada perasaan tersalah ambil atau dikebas orang, alhamdulillah. Tetapi rakan sebilikku mengalami kehilangan selipar sebanyak empat kali semasa ke masjid. Aku tak memberi komen apa-apa terhadap kejadian itu malahan tidak terdetik dalam hati kenapa seliparnya sahaja yang hilang sedangkan kami meletakkanya di tempat yang sama. Aku hanya bergurau dengan mengatakan seliparnya memang diminati ramai. Di Masjidil Haram juga aku berasa bagaimana bersolat Jumaat dan jenazah. Di sini setiap lima waktu itu sentiasa ada solat jenazah.

Terdapat juga tempat-tempat bersejarah untuk diziarahi. Semasa ziarah Makkah, Ustaz Halim telah membawa kami melawat ke rumah orang Melayu yang telah menjadi penduduk tetap di Makkah. Semasa di rumah tersebut, tetamu lelaki dan wanita diasingkan. Tetamu lelaki dalam satu bilik dan begitu juga tetamu wanita. Kebanyakan Melayu Makkah ini berasal dari Utara atau Pantai Timur Malaysia.

Selain daripada itu kami juga dibawa melawat Jabal Thur, Jabal Nur (gua Hira’), Jabal Rahmah, Arafah, Mudzalifah, Mina juga perkuburan Maa’la. Di pusara inilah sejumlah besar sahabat, tabi’in, ulama’, salihin dan auliya’, disemadikan. Walau bagaimanapun, kebanyakan makam mereka telah hilang kesannya dan tidak lagi diketahui oleh penduduk Makkah melainkan beberapa buah sahaja. Antara makam yang masih dikenali ialah makam Ummu al-Mu’minin, penasihat penghulu Rasul-rasul, Khadijah bint Khuwailid, bonda semua cahayamata Nabi SAW kecuali Ibrahim serta nenenda kepada dua orang cucundanya yang mulia iaitu Hasan dan Husain r.a. Berhampiran dengannya ialah makam Khalifah Amir al-Mu’minin Abu Ja’far al-Mansur ‘Abdullah ibn Muhammad ibn ‘Ali ibn ‘Abdillah ibn al-‘Abbas r.a. Di situ jugalah tempatnya ‘Abdullah ibn al-Zubair r.a. disalib.

Seperkara lagi, apa yang aku lihat baik di Makkah ataupun di Madinah, tempat-tempat bersejarah dan suci ini tidak diberi tanda atau dipelihara secantiknya sebagaimana di tempat kita. Tidak jauh dari dataran Masjidil Haram umpamanya terdapat sebuah bangunan putih dua tingkat yang dijadikan perpustakaan. Tapak perpustakaan tersebut merupakan bekas tapak rumah di mana baginda Rasulullah dilahirkan. Tempat bersejarah ini dibiarkan begitu sahaja, bukan untuk melupakannya tetapi untuk mengelakkan syirik kepada mereka yang suka mendapatkan berkat tempat-tempat sedemikian.

Kaabah
Kaabah di Masjidil Haram merupakan tempat bagi kaum muslim menghadapkan wajahnya saat sujud pada Yang Maha Kuasa, walau di mana sahaja hamba-Nya berada. Dan kini aku betul-betul berdiri menghadap Kaabah, menyaksikannya sendiri dengan pancainderaku. Sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata. Rasa terharu, sedih, gembira semuanya bercampur aduk. Setiap kali selepas tawaf dan mengangkat tangan berdoa pada Ilahi, perasaan begitu tersentuh, terasa diri ini banyak melakukan dosa kepada Allah tetapi Allah s.w.t tetap kasih dan sayangkan hamba-Nya, menerima kehadiranku sebagai tetamunya. Air mata pula begitu murah harganya. Betul seperti firman Allah dalam Surah Al-Baqarah tersebut.

Aku perhatikan orang yang bertawaf di Kaabah tidak kira waktu, baik siang atau malam malah dinihari. Beberapa kali aku ke masjid pada jam dua pagi melaksanakan qiamullail di samping berharap Kaabah akan lengang. Tetapi harapan itu hampa kerana tidak ada waktu yang Kaabah lengang. Menjelang musim haji manusia di Kaabah lagilah sesak. Di kawasan Hajar Aswad pula banyak orang berebut-rebut hendak menciumnya. Aku ada juga cuba-cuba mendekati Hajar Aswad tetapi melihat manusia yang berebut-rebut disertai teriakan “sabar haji, sabar haji” oleh pegawai-pegawai masjid bertugas, aku membatalkan hasratku. Aku juga teringat pesanan Tn. Hj. Ilham supaya jangan berebut-rebut kerana ia akan mengurangkan pahala yang ada. Ada juga yang melekapkan dirinya di dinding Kaabah, juga membalingkan serbannya ke dinding Kaabah, barangkali untuk meperoleh berkat rumah Allah tersebut.

Kerap kali juga semasa bertawaf ini , bahuku ditumpang oleh makcik-makcik Bangla atau Pakistan. Selalunya aku membiarkannya sahaja kerana yang menumpangkan tangannya di bahuku itu adalah orang-orang tua. Aku senyum saja kepada mereka dan mereka membalas balik senyuman itu, mungkin tanda terima kasih. Kesemua pusingan tawaf, kedua-dua tanganku sentiasa di dalam telekung, takut tersentuh mereka yang bukan muhrim. Kadang-kadang apabila terlalu ramai orang tawaf, aku akan mengambil pusingan yang paling luar, ini bermakna untuk menghabiskan tujuh pusingan tawaf itu boleh mengambil masa hampir sejam. Namun walau susah atau senang, ucapan syukur sentiasa dilafazkan.

Sesekali semasa bertawaf aku terserempak dengan mereka yang sentiasa sibuk. Walaupun sedang tawaf tetapi sempat berborak di telefon. Ada juga yang sibuk bergambar di depan Kaabah, walaupun bergambar itu dilarang semasa di dalam masjid. Begitulah gelagat manusia yang sentiasa sibuk dengan hal-hal dunia walhal sudah berada dalam rumah Allah dan menjadi tetamu Allah.

Antara tanda kebesaran Kaabah ialah sentiasa ada sahaja orang yang melakukan tawaf mengelilinginya sama ada siang atau malam dan tak pernah ada orang bercerita bahawa ia melihat Kaabah tanpa orang bertawaf mengelilinginya. Di Makkah banyak burung merpati yang berterbangan di atas seluruh bahagian Masjidil Haram tetapi tidak ada merpati yang hinggap di Kaabah atau terbang melintasinya atau menjatuhkan najisnya di kawasan Kaabah yang terbuka luas itu. Kawasan di sekitar Kaabah juga masjid atau di Makkah tidak terdapat bau busuk, bau longkang atau bau sampah sarap, walhal manusia di situ tidak terkira jumlahnya. Maha Suci Allah yang telah mengurniakan keistimewaan kepada Kaabah dan Makkah dengan memuliakan dan menganugerahinya kehebatan serta ketinggian.

Arafah, Mudzalifah dan Mina
Setelah 9 hari di Makkah dan berada dalam ihram, tibalah waktu Wukuf di Arafah. Sepanjang masa dalam ihram, dugaan yang paling aku tak tahan ialah gatal kepala. Kalaulah boleh mahu aku menggaru sepuas-puasnya kepalaku tapi apakan daya, rambut atau apa saja rambut di tubuh yang gugur secara sengaja akan dikenakan dam. Aku sentiasa berdoa agar mendapat haji mabrur. Oleh sebab itu aku dan semua jemaah yang lain pastinya sebolehnya mengelakkan dam ini.

Puncak ibadah haji adalah di Padang Arafah (al-hajju ‘arafah). Demikian sabda Rasulullah s.a.w. Tidak sah haji tanpa kehadiran di Arafah. Perjalanan jemaah pakej kami ke Arafah begitu lancar pada 8 Zulhijjah. Tidak sampai sejam kami tiba di khemah yang disediakan. Kami tiba pada waktu maghrib. Di Arafah kami hanya berehat sambil berzikir sambil menunggu wukuf yang bermula apabila gelincir matahari (masuk waktu zuhur) 9 Zulhijjah. Ustaz Halim menjadi imam kami sepanjang hari tersebut. Sepanjang hari wukuf ini seluruh jemaah haji yang hampir tiga juta orang ini tidak ada apa yang mereka kerjakan kecuali berzikir, beribadah dan menumpahkan kerinduan kepada Allah. Dan yang paling sayu apabila semua jemaah keluar dari khemah pada waktu maghrib untuk berdoa kepada Allah. Dalam kesuraman senja itu kelihatan di mana-mana jemaah menadah tangan kepada Allah s.w.t dengan penuh khyusuk dan amat damai. Aku rasa indah dengan situasi ini dan rasa sedih kerena selepas itu, dengan tenggelamnya matahari kami akan bergerak ke Muzdalifah, meninggalkan Arafah.

Di Mudzaliffah, di sepanjang keheningan dan kedinginan malam semuanya berkhalwat dengan Allah yang Maha Pengasih. Ya Allah, apakah gerangan yang berada dalam benak jutaan manusia itu, hingga secara bersama-sama mengharungi malam yang dingin di Muzdalifah dengan hanya bermunajat kepada-Mu”. Di sini aku betul-betul merasa keseorangan. Yalah dalam keheningan malam beratapkan langit, berlampukan bintang dan beralaskan tikar aku duduk sorang-sorang kerana terpisah dengan teman yang sama-sama single. Aku ingat suami, anak dan keluarga juga teman-temanku di Malaysia. Lantas dalam kesuraman cahaya lampu Mudzalifah aku menghantar SMS mengucapkan Salam Aidiladha kepada kalian. Aku rindu takbir Aidiladha dan keluargaku.
Muzdalifah ternyata bukan tempat tujuan akhir kerana pada tengah malamnya kami ke Mina pula. Sambil bermunajat, kami juga mengutip batu-batu kecil untuk melontar jamrah. Perjalanan ke Mina juga begitu mudah dan lancar. Di Mina aku dan ahli-ahli pakejku ditempatkan dalam khemah yang beralaskan karpet. Siap dengan pendngin hawanya sekali. Walaupun agak bersempit-sempit, tapi tetap bersyukur. Cabaran hebat di Mina ialah bilik air dan tandas yang disekalikan.. Bayangkan dalam jutaan umat itu bilik air amat terhad. Sebelum ke bilik air aku semestinya berdoa agar mudah mendapat bilik air tersebut. Ada masanya cepat tapi ada masanya terpaksa berbaris hampir sejam baru dapat peluang.
Satu peristiwa pelik yang aku alami di Mina ialah peristiwa di bilik air. Aku ke bilik air untuk bersuci dan mengambil air sembahyang. Seperti biasa doaku agar mudah mendapat bilik air. Orang tak ramai dan sebaik aku sampai di depan pintu sebuah bilik air, tiba-tiba pintunya terbuka dan keluar seorang makcik sambil menahan dirinya daripada termuntah-muntah. Dia sempat memberitahuku dalam bilik air itu dipenuhi dengan najis. Oleh kerana tiada siapa yang hendak masuk ke situ, aku pun melangkahkan kaki masuk tetapi bersedia untuk menghadapi situasi yang makcik itu perkatakan. Tetapi pelik kerana bilik air tersebut bersih tanpa ada sebarang najis. Jadi memang rezekiku dapat masuk ke bilik air dengan cepat.
Semasa di Mina inilah berlakunya peristiwa pijak-memijak di kawasan jamrah. Seramai lebih tiga ratus jemaah terkorban yang kebanyakannya dari Pakistan, Turki dan Arab lainnya. Kami yang tinggal berdekatan kawasan tersebut tidak tahu-menahu peristiwa sedih ini sehinggalah mendapat pesanan sms dari tanah air. Begitulah keadaannya, apa yang berlaku sekitar waktu haji hanya diketahui setelah mereka di tanah air menelefon atau menghantar sms. Mengimbas kembali waktu peristiwa di jamrah pada hari kejadian, berlaku rebut pasir dan kami diminta tinggal di dalam khemah. Pada masa ribut inilah terjadinya peristiwa pijak-memijak ini.
Selepas melaksanakan lontaran di ketiga-tiga jamrah tiga hari berturut-turut, bebaslah kami dari sebarang larangan ihram dan kami semua kini dipanggil dengan panggilan haji atau hajah. Jika sebelum ini gelaran untuk kami di Tanah Suci ini ialah Siti Rahmah tapi kini bertukar kepada hajah. Kami meninggalkan Mina untuk kembali semula ke Makkah sebelum ke Madinah.

Ahmad Albab
Membeli-belah memang aktiviti yang menyeronokkan, tak kira walau di Tanah Suci sekalipun. Baik di Makkah ataupun Madinah barang-barang cilok seperti di Petaling Street berlambak dijual. Sebut saja mau apa, jam,minyak wangi dan barang berjenama lain semuanya ada.
Apabila menyebut bab membeli-belah ini, Ahmad Albab segera muncul dalam ingatan. Siapakah Ahmad Albab di kalangan jemaah haji. Nama Ahmad Albab hanya kita tahu menerusi cerita P. Ramli, tapi Ahmad Albab yang seorang ni merupakan seorang pemuda Arab yang cukup popular di kalangan jemaah Malaysia mahupun Indonesia. Dalam ribuan peniaga di Makkah susah nak mencari macam Ahmad Albab. Ahmad cukup peramah dan keistimewaannya, beliau fasih berbahasa Melayu. Setiap yang masuk ke kedainya pasti diperlihatkan gambar beliau bersama-sama Siti Nurhaliza dan Sharifah Aini, ikon yang popular di Malaysia. Siti dan Kak Pah berkunjung ke kedai Ahmad semasa mereka menunaikan umrah. Malahan Ahmad turut menjual jubah yang diberi nama Siti Nurhaliza. Aku turut membeli sehelai jubah siti. Kedai Ahmad sentiasa penuh dengan pelanggan terutamanya dari Malaysia dan Indonesia.

Bagi Ahmad Albab dan peniaga-peniaga yang lain “ orang Malaysia bagus “. “Malaysia bagus, Indonesia bagus” itulah ungkapan yang sering dilafazkan oleh peniaga-peniaga ini kepada kami. Secara umumnya jemaah Malaysia tetap harum di kalangan orang-orang Arab tempatan baik di Makkah ataupun Madinah.

Madinah al Munawarah
Setelah selesai menunaikan haji dan umrah, kira-kira 34 hari di Makkah, kini tiba masanya pakej kami berangkat ke Madinah. Dengan menaiki tiga buah bas pakaej Mitra bertolak ke Madinah. Dari Makkah ke Madinah mengambil masa kira-kira 8 jam sejauh 474 km. Lebuh raya antara Madinah ke Makkah lebar dan besar setanding lebuhraya Utara Selatan kecuali pemandangan sepanjang jalan hanya bukit,batu dan pasir sahaja. Cuaca agak panas walaupun waktu itu musim sejuk.
Sepanjang perjalanan kebanyakan kami lena, penat mengerjakan ibadah haji dan umrah masih terasa. Rombongan kami berhenti di tempat-tempat rehat yang telah disediakan. Lebih kurang macan R&R di Malaysia tetapi R&R di Saudi ni ala kadar sahaja, yang penting ada perhentian untuk ‘menyahut panggilan alam’.

8 hari di Madinah kami menginap di Hotel Safir As-Saha, kira-kira 50 meter dari masjid Nabawi dan hotel ini memang berhadapan dengan pintu untuk laluan kaum wanita apabila hendak memasuki masjid. Alhamdulillah, memudahkan kami.
Kami dibawa ziarah Madinah , selain beribadat di masjid Nabawi, umat Islam juga boleh menziarahi Masjid Quba, Jabal Uhud, Masjid Qiblatain, Perkuburan Jannatul-Baqi, Masjid Tujuh, Pasar Kurma, kilang coklat kurma dan kilang mencetak al-Quran.
Sabda Rasulullah SAW seperti yang diriwayatkan oleh Al-Tabrani, bermaksud: "Sesiapa yang menunaikan fardu haji ke Baitullah al-Haram di Tanah Suci Makkah dan tidak menziarahi aku (di Madinah), sesungguhnya ia menjauhkan dirinya daripada aku".

Masjid Nabawi
Makam Rasulullah terletak di kawasan Raudah (Taman Syurga) dalam masjid itu, bersebelahan dengan makam sahabat karib Baginda, Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar Al-Khatab. Makam Baginda terletak di bawah kubah besar berwarna hijau dan dipagari dinding yang dihiasi ukiran ayat suci al-Quran berwarna keemasan. Kawasan Raudhah ialah tempat di antara mimbar dengan makam Rasulullah s.a.w. Baginda bersabda,” Di antara rumahku dan mimbarku ialah Raudhah (taman) dari taman-taman syurga dan mimbarku di atas kautsarku”.
Dengan itulah semua yang ke Madinah akan ke Raudhah tetapi pada musim haji untuk memasuki Raudhah semuanya dengan izin Allah. Raudhah juga tempat paling mustajab berdoa dan bersolat dan disifatkan nabi sebagai kebun antara kebun-kebun syurga. Kawasan Raudhah ditandakan dengan karpet hijau muda berbanding karpet merah di kawasan lain dalam masjid.
Di dalam masjid Nabawi

Pengalaman untuk memasuki Raudhah memang tak akan kulupakan. Waktu untuk wanita menziarahi Raudhah amat terhad iaitu 8.00 – 10.30 pagi dan selepas zohor dari 1.00 – 2.30 petang. Aku tak ada pengalaman, aku ikut saja jemaah yang nak ke Raudhah. Bukannya senang nak masuk ke Raudhah. Di Raudhah, manusia bertolak-tolak untuk mendapatkan tempat paling tepat Raudhahnya. Aku tersepit, tak boleh bergerak ke kiri atau kanan. Sabar saja tapi akhirnya aku berjaya juga solat sunat di Raudhah. Hari-hari berikutnya aku tak lagi mengikut mereka yang berebut-rebut tu, biarpun dibelakang sekali, jika Allah mengizinkan aku pasti dapat masuk dan solat di dalamnya. Kami masuk ke Raudhah mengikut kumpulan. Kumpulan jemaah Turki, kumpulan Pakistan dan Bangladesh dan Malaysia disekalikan dengan Indonesia namun kadangkala terselit juga jemaah Bangla atau pakistan dalam kumpulan kami. Setelah dapat solat di Raudhah, aku merasakan satu kepuasan dan gembira. Hilang segala penat lelah menunggu ketika hendak memasukinya.

Kembali Ke Malaysia
Setelah 8 hari di Madinah kini tiba waktu untuk kami kembali ke Malaysia. Sedih untuk meninggalkan Madinah namun lambaian suami, anak dan keluarga tercinta membuatkan penerbangan 8 jam Saudi Arabia SV 40 terasa begitu lama. Akhirnya kami selamat tiba di Malaysia jam 9.00 malam. Doaku agar Allah s.w.t murahkan rezekiku dan rezeki saudar-saudaraku yang lain agar kita akan diterima menjadi tetamu Allah. Insya Allah.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home