Saturday, December 5, 2009

Perbilangan Adat

Perbilangan Adat Lambang Intelektual Melayu
Oleh Hajah Amanah Mohd Noor

Perbilangan adat atau kata-kata adat juga dikenali sebagai teromba. Menurut Wilkinson, teromba bermaksud salasilah seseorang, suatu kumpulan masyarakat, suatu bangsa satu sistem dan sebagainya (Harun Mat Piah, 1989:424).

Perbilangan adat merupakan sejenis puisi yang tidak mempunyai bentuk yang tetap, boleh didapati dalam bentuk berangkap atau tidak. Perbilangan adat tercipta dalam ungkapan-ungkapan dan rangkai-rangkai kata yang padat dan ringkas tetapi sarat dengan pemikiran dan pengajaran. Penggunaan rangkai kata yang tepat dan ringkas sangat penting kerana perbilangan adat disebarkan daripada satu generasi kepada satu generasi melalui tradisi lisan dan dikekalkan menerusi ingatan dan pengamalannya dalam masyarakat. Kombinasi bahasa yang tepat, ringkas dan berirama penting untuk meninggalkan kesan yang mendalam kepada para pendengar.

Hidup dikandung adat
Mati dikandung tanah

Duduk meraut ranjau
Tegak meninjau arah

Duduk sama rendah
Berdiri sama tinggi

Malu tak boleh diagih
Suku tak boleh dianjak

Dianjak layu
Dicabut mati


Merenung perbilangan adat di atas , tergambar peraturan hidup yang terkandung di dalamnya yang disampaikan dengan bahasa yang ringkas tetapi cukup indah dan penuh makna. Ini menjelaskan bahawa perbilangan adat ini dapat menggambarkan sebahagian daripada pemikiran masyarakat Melayu khususnya masyarakat pendukung adat Perpatih.

Masyarakat Melayu tradisi berkembang lebih awal daripada modenisasi, merupakan sebuah masyarakat yang serba sederhana dalam kehidupan, namun pemikiran yang digarap melalui perbilangan adat ternyata bukanlah semudah dan seringkas corak hidup yang mereka lalui. Pemikiran yang diungkapkan sarat dengan pelbagai anjuran, tegahan dan pengetahuan umum yang berfungsi untuk mengatur hidup masyarakatnya. Walaupun kemudahan pembelajaran secara formal tidak ada, tetapi perkembangan puisi perbilangan adat secara pertuturan yang dijalin dengan gubahan bahasa yang indah dan bernilai seni berjaya mencerminkan dengan jelas rumusan pendapat dan pandangan yang merupakan latar belakang masyarakatnya.

Tema atau isi perbilangan adat banyak memberikan gambaran kepercayaan, nilai dan pegangan hidup masyarakat; gambaran perlakuan dan tindak laku serta peraturan yang mesti dipatuhi, nilai bermasyarakat atau hidup bersatu padu. Masyarakat diibaratkan:


Seikat seperti sirih,
serumpun seperti serai,
seciap seperti ayam,
Sedencing seperti besi;
malu tak boleh diagih,
suka tak boleh dianjak;
melompat sama patah,
menyerudup sama bongkok;
jalan sedundun,
selenggang seayun.

Masyarakat yang bersatu padu dilambangkan atau diibaratkan seperti sirih yang tersusun rapi diikat, seperti serumpun serai. Seciap seperti ayam; sedencing seperti besi, menunjukkan kata sepakat.

Dalam Adat Perpatih, nilai hidup bermasyarakat ialah nilai hidup bermuafakat. Muafakat membawa makna dan tujuan berbagai-bagai seperti timbang rasa, tolong-menolong, persefahaman, solidarity, kesamarataan, kesetiaan dan sebagainya. Kesetiaan umpamanya, ada pelbagai;

Adat bersaudara, saudara pertahankan
Adat berkampung, kampung pertahankan
Adat bersuku, suku pertahankan
Adat bernegeri, negeri pertahankan

Sepakat pangkal selamat
Sengketa pangkal celaka
Hilang adapt kerana janji
Hilang pusaka kerana buatan

Kesetiaan ini berjalan serentak. Kepentingan besar dengan sendirinya mengatasi kepentingan kecil, umpamanya kepentingan negeri lebih daripada kepentingan kampung (Nordin Selat, 1982:15)

Banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam, berdasarkan peribahasa ini, ternyata bukan mudah untuk mewujudkan keamanan dan krharmonian yang berkekalan dalam masyarakat. Masing-masing mempunyai gaya tersendiri untuk menghadapi kehidupan , sehingga kadang-kadang mereka melakukan pelbagai kesilapan yang melanggar kelaziman adapt. Mereka faham bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelombang. Rasionalnya, tidak terdapat suatu pun di dunia ini yang sempurna kecuali Allah. Untuk menghadapi situasi begini mereka bersikap praktikal, memberi panduan supaya perkara yang telah berlaku tersebutdijadikan teladan dan ingatan. Banyak peraturan yang menyeru supaya manusia mencari kebahagiaan di dunia dan kemurniaan hidup bermasyarakat dengan melakukan perubahan nilai yang tidak boleh digunakan lagi dalam perkembangan hidup seterusnya, seperti perbilangan;

Yang usang diperbaharui
Yang elok dipakai
Yang buruk dibuang

Melihat contoh yang lama
Melihat tuah yang menang
Sesat di hujung jalan
Balik ke pangkal jalan

Berdasarkan perbilangan ini ternyata masyarakat Adat Perpatih mengamalkan sikap terbuka, berdaya maju dan dinamis. Sesuatu perlakuan yang boleh memundurkan, tidak akan dipertahankan sebaliknya mereka sentiasa menggalakkan anggota masyarakat sentiasa berusaha ke arah kemajuan.

Daripada perbincangan yang ringkas ini, perbilangan adat dapat dianggap sebagai penghasilan intelektual yang disebut falsafah Melayu. Perkataan yang digarap melalui perbilangan adalah perkataan yang terpilih berdasarkan kesesuaiannya dengan tujuan dan fungsinya dalam masyarakat.Pengalaman yang diperolehi daripada persekitaran pula dimanfaatkan sepenuhnya dalam bentuk perbilangan adapt dan daripada perbilangan adat ini pula dapat diteliti alam pemikiran, persepsi, sikap dan tanggapan masyarakat Adat Perpatih terhadap kehidupan.


Bibliografi

Harun Mat Piah. 1989. Puisi Melayu Tradisional : Satu Pembicaraan Genre dan Fungsi. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

Nordin Selat. 1976. Sistem Sosial Adat Perpatih. Kuala Lumpur: Utusan Melayu


0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home