Saturday, December 5, 2009

Penulisan Kreatif

PENULISAN KREATIF
oleh

HAJAH MAHAYA MOHD. YASSIN

Pengenalan
Penulisan kreatif secra umum ialah pengolahan dan penghasilan karangan, ciptaan, karya dan atau cerita seperti novel, cerpen, drama dan puisi. Sebelum terhasil sesebuah penulisan kreatif, seseorang itu perlu berfikiran kreatif sama ada secara dirangsang, dibimbing atau yang semarak sendiri-sendiri.
Penulisan Kreatif dan Kreativiti
Berfikir ialah keupayaan memindahkan kemahiran yang sedia ada kepada situasi lain. Para pakar Ilmu Psikologi mengakui bahawa terdapat dua cara berfikir iaitu berfikir cara analitikal-logikal dan cara kreatif. Cara berfikir analitikal-logikal menjurus kepada reaksi atau tindak balas yang ‘dikehendaki’ oleh pihak pencabar. Hanya satu jawapan yang betul, dalam konteks ini. Langkah ini membentuk sikap konfirmiti akan persekitaran yang terhad, tanpa berani mengemukakan idea-idea baru.

Sementara itu, cara berfikir kreatif lebih luwes dan yakin bahawa banyak jawapan yang dapat diajukan untuk setiap persoalan. Pemikiran kreatif turut mencabar penyelesaian yang sedia wujud demi pencarian dan pilihan penyelesaian atau idea baru. Pemikiran cara ini mengetengahkan serta mencuba gagasan segar dan baru, malah mungkin akan menyeleweng daripada kelaziman. Jawapan-jawapannya bukan sahaja pelbagai, malah lebih positif. Dalam reality kehidupan, pemikiran kreatif lebih berdaya saing dan berdaya tahan apabila berhadapan dengan cabaran dan kemungkinan.

Sehubungan dengan itu, kreativiti (hasil fikiran, tindakan yang kreatif) ditafsirkan oleh Hopkin (1937) sebagai ‘…diri dalam keadaan bergerak balas ketika dirangsang dengan dalam dan dengan cara dinamik.’ Andrew (1961) menegaskan bahawa kreativiti ialah proses yang dilalui oleh seseorang dalam pengalaman-pengalamannya yang membawa kepada perbaikan dan pertumbuhan dirinya, sebagaimana ia adalah pernyataan terhadap individuality dan keistimewaannya.’
Di samping itu, proses kreatif dilalui oleh seseorang dalam menghadapi suasana yang mencabar minda dan menggugah rasa dengan penuh penghayatan dan kesungguhan. Fikiran kreatif turut menyelongkar, mencari dan mengenal pasti cara, maklumat dan peluang baru serta merangka strategi. Untuk itu, seseorang yang berfikir secara kreatif menggunakan teknik berfikir projektif.

Seperti yang kita sedia maklum, penulisan kreatif amat berkait rapat dengan pengalaman peribadi. Jenis penulisan ini menuntut pemikiran yang tajam, imaginasi dan sensitivity yang tinggi serta daya persepsi yang matang dan mantap. Sekali gus penulisan kreatif diiktiraf sebagai pemikiran beraras tinggi.

Dalam pengajaran dan pembelajaran seharian, pelajar kita perlu digerak gempur minda dan digugah perasaan mereka melalui pelbagai usaha, cara dan rangsangan. Aktiviti-aktiviti ini kelak berupaya melatih pelajar lebih bersemangat, meninggikan kemahiran berfikir, menjelaskan perkara yang sudah diketahui, mendapatkan maklum balas akan sesuatu yang sedang dipelajari, menjalin perkaitan antara idea yang ada, menajamkan perasaan ingin tahu, membina pelbagai proses berfikir dan mencipta cabaran baru yang merangsang kecemerlangan.

Sebenarnya, kesemua usaha ini berupaya mengilap potensi, menyubur bakat serta memperkembang pemikiran, bahasa dan motivasi pelajar. Peluang serta ruang seperti ini merangsang daya fakir, imaginasi, kreativiti, persepsi mereka untuk melahirkan idea, perasaan, hujah, pendapat dan pengalaman sendiri.

Proses Penulisan Kreatif

Peringkat atau tahap yang harafiah dan candra dalam proses penulisan kreatif terbahagi kepada lima. Kelima-lima peringkat dinamakan formula ‘5 P’ itu ialah persediaan, peringkat pengeraman idea, perangkaan cerita, penulisan dan penyemakan.
Peringkat persediaan bermaksud tempoh dan situasi ketika ‘komputer’ kita mula menerima dan mencerna maklumat, idea, rangsangan atau ‘bahan mentah’ dari semasa ke semasa. Peringkat pengeraman pula mengkhusus kepada proses rangsang, idea dan segala maklumat yang berkaitan dimantapkan, disemak, dihujah, diuji, ditokok tambah dan
dimantapkan. Proses ini berlangsung dalam kedua-dua belah otak secara tekal, demi memasakkan ‘ilham’ atau memantapkan gagasan dan cerita. Biasanya proses ini berlangsung tanpa tempoh masa yang tetap. Realitinya ada yang memakan masa berminggu-minggu malah bertahun-tahun.

Sementara itu, peringkat ketiga iaitu perangkaan cerita merupakan kesinambungan padu daripada proses sebelum itu. Pada peringkat ini, rangka cerita mula tercetus dan berbayang-bayang. Apabila difikirkan lebih mendalam dengan lebih tekal rangka mula terbentuk. Draf awal ini boleh juga ditulis kemas dalam bentuk peta minda atau catatan ringkas. Seseorang bolehlah mula melangkah ke peringkat penulisan. Ini bermaksud pelajar boleh melanjutkan usaha menuliskan cerita dengan yakin. Sambil mengarang pelajar akan turut bermain-main dengan gaya bahasa yang mantap dan menarik, sesuai dengan pergerakan cerita. Sebaik sahaja selesai, usaha menyemak dilakukan agar tajuk menarik, segar dan ringkas. Penyemakan bahasa pula memastikan ejaan tepat, ayat gramatis , bervariasi dan kreatif. Di samping itu perlu dilihat jalinan peristiwa lancar, munasabah serta menyakinkan pembaca . Dan akhirnya kereta itu biarlah positif, tepu dengan nilai kemanusiaan dan pengajaran.

Pengajaran dan Pembelajaran Penulisan Kreatif

Pendekatan dan teknik yang boleh dijadikan rangsangan untuk membuka pintu kreativiti pelajar pelbagai. Antaranya ialah Adaptasi, Aksi kaku, ‘Permata’, menyambung cerita, menyediakan cerita, menamatkan cerita, mempositifkan unsur, interteks dan interaksi. Penulis memaparkan Teknik Interaksi ini secara sekilas untuk mencontohkan pengajaran dan pembelajaran penulisan kreatif.

Teknik Interaksi ini sebenarnya menggalakkan pelajar berinteraksi serta saling mencabar kreativiti bersama rakan. Kelebihannya ialah sedari awal pelajar berdaya saing untuk merangsang kreativiti, persepsi dan imaginasi untuk menghasilkan penciptaan yang lebih bermutu. Meskipun pada dasarnya , mereka berhujah tentang sesuatu tajuk yang sama namun apabila sampai pada tahap perangkaan dan penulisan, pelajar digalakkan menghasilkan karya yang baku, mempunyai kelainan, ketulenan serta yang lebih kreatif.

Contoh Penulisan Kreatif Menggunakan Teknik Interaksi

Rangsangan untuk berinteraksi
· Membaca cerita ‘Batu Belah Batu Bertangkup’
· Mengesan kata sukar serta memberi sinonim, antonym dan membina ayat
· Bersoal jawab menguji kefahaman
· Mentafsir cerita
· Membuat latihan darihal tema dan persoalan, watak dan perwatakan, latar, plot, gaya bahasa, nilai kemanusiaan dan pengajaran dengan menggunakan bahasa yang tepat, indah dan menarik
· Mempositifkan peleraian cerita
· Mencadangkan peleraian lain
· Merubah watak
· Mengadaptasi

Selepas tahap rangsangan pelajar berlatih pula pada perbincangan berikut
· Menyenaraikan dan memilih idea daripada pelbagai sumber
· Mengemukakan idea dalam bentuk lakaran atau lisan
· Menyusun dan memilih peristiwa yang sesuai dengan jalan cerita
· Menulis cerita menggunakan bahasa yang tepat, indah dan menarik
· Menyunting karya
· Menilai karya yang dihasilkan
Penutup Bicara
Penulisan kreatif ialah satu proses yang istimewa. Proses ini menurut adunan pengalaman, imaginasi, kreativiti, sensitiviti dan persepsi yang diperkukuh oleh bakat dan kesungguhan. Oleh itu, setiap pelajar berhak menerima prosedur proses ini secara tuntas agar penghasilan cara kreatif lebih bermakna dan menyeronokkan. Walau bagaimanapun penulisan kreatif seperti sifatnya yang tersendiri tidak boleh terpisah-pisah atau terlalu kompleks. Setelah mengalami proses serta tercabar dengan pelbagai rangsangan, pelajar berupaya mengalami pengalaman baru dalam suasana selesa dan membijaksanakan. Justeru, objektif penulisan kreatif untuk jangka pendek iaitu kepentingan peperiksaan dan untuk jangka panjang sebagai wadah pendidikan seumur kehidupan akan mudah digapai. Insya-Allah.




1 Comments:

At September 18, 2018 at 3:01 AM , Blogger mohamad faizo said...


Penulisan kreatif ialah apa-apa penulisan yang bertujuan untuk menyatakan pemikiran, perasaan dan emosi, berbanding dengan hanya memberikan maklumat. Ia juga boleh ditakrifkan sebagai pengungkapan pemikiran dan perasaan penulis dengan cara yang imaginatif, seringnya unik dan indah bunyinya Penulisan kreatif bermaksud satu karya yang mempunyai nadi perenggan ayat yang membuatkan seseorang impress ketika membacanya dari awal sehingga akhirnya. Karya kreatif mempunyai daya pemikiran, tarikan, sesuatu kelainan yang unik atau original.

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home