Saturday, December 5, 2009

Penulisan Kreatif 11

Komponen Sastera Dalam Bahasa Melayu
Penulisan Kreatif

Oleh
Hjh. Rafiah bt. Daud
Rosaini bt. Khalid

Apakah penulisan?

Merakam, menghasil dan menyampaikan idea, pengalaman, perasaan mahupun maklumat dalam bentuk tulisan atau grafik untuk komunikasi adalah merupakan keseluruhan proses menulis.

Don Bryne (1979) mengatakan “apabila seseorang menulis ia menggunakan simbol-simbol grafik mengikut konvensyen tertentu. Lambang yang dibentuk akan menjadi perkataan dan perkataan ini disusun untuk membina ayat. Hasilnya satu urutan ayat yang berkait rapat dan koheren akan menjadi sebuah karangan.”

Pandangan ini selaras dengan pendapat Ishak Harun (1979) yang mengemukakan bahawa “penulisan sebagai satu kemahiran menyampaikan idea, fakta dan sebagainya yang terdapat dalam pemikiran manusia melalui alat komunikasi iaitu bahasa.”

Apakah penulisan kreatif

Jika menulis merupakan suatu proses, tentulah beberapa tahap perlu dikuasai. Tahap yang paling tinggi ialah proses kreatif yang jika dikuasai boleh menghasilkan penulisan kreatif. Mengikut Shahnon Ahmad ( 1993) “proses kreatif dapat dimaknakan sebagai tahap tindakan yang diperlakukan insan secara sedar atau tidak sedar dalam penciptaan sesuatu.” Ini dapat disokong oleh pandangan Nik Safiah, (1987), mengatakan penulisan kreatif perlu berfikir secara kreatif untuk mendapatkan idea dan fakta serta menilai semula idea dan fakta yang disampaikan itu secara berkesan.Setiap hasil karya penulisan kreatif amat mengutamakan daya imaginasi dan kecerdasan akal untuk mengusik sensitiviti pembaca melalui penulisan yang dihasilkan.

Penulisan kreatif terbahagi kepada dua bentuk iaitu prosa dan puisi. Karya prosa ialah bentuk tulisan karangan biasa yang mengandungi jalinan fikiran pengarang, tiada pola rima dan tidak terikat dengan bebtuk-bentuk tertentu ( seperti pantun dan syair). Penglahiran idea dalam prosa lazimnya berbentuk eksplisit secara naratif atau deskriptif ataupun kedua-duanya sekali. Contoh karangan berbentuk prosa ialah cerpen, novel, drama autobiografi, kritikan, esei, catatan, jurnal, surat dan lain-lain.

Karya puisi pula adalah dari jalinan fikiran pengarang yang digubah dengan bahasa yang indah, berirama dengan bentuk-bentuk yang tersendiri dan bahasanya tidak terikat dengan tatabahasa. Puisi ini dicipta untuk meluahkan perasaan atau maklumat tertentu. Contoh karya puisi ialah pantun, syair, gurindam, seloka, bahasa berirama dan sajak.

Jadi, sebarang bentuk penulisan memerlukan keupayaan penulis menjalin sebarang idea berdasarkan pilihan diksi, kepelbagaian ragam ayat, stilistik, unsure kesatuan dan pertautan dalam perenggan dan pemerengganan dalam bentuk-bentuk tertentu. Oleh itu, seni dalam mengarang ini umpama menganyam kelarai yang perlu susun atur dan kreativiti yang tinggi.

Apakah cirri-ciri penulisan puisi?

1. Morfologi

Sebarang pilihan kata untuk melahirkan idea, perasaan, atau buah fikiran perlu memberi kesan kepada khalayak. Oleh itu, pilihan diksi dalam karya kreatif perlulah indah, tepat dan jelas. Ketetapan pilihan diksi sesuai dengan perkara-perkara yang akan diolah.Contohnya, dalam menghasilkan cerpen bertemakan perjuangan pilihan katanya ialah daya juang, semanagat berkobar-kobar, patriotik dan lain-lain.

Keindahan kata perlu pula merujuk kepada permainan bunyi, dialek, slanga, sinkof dan kata-kata pinjaman untuk menghidupkan lagi keceriaan idea. Contoh diksi yang indah ialah penggunaan perbandingan seperti gadis diibaratkan sebagai bunga, bulan - purnama, matahari - mentari, angin - bayu. Pilihan diksi juga bergantung kepada makna yang terkandung. Kejelasan makna merujuk kepada sesuatu benda atau situasi yang khusus iaitu konkrit yang dapat dikesan oleh deria atau abstrak

2. Sintaksis

Binaan ayat penting untuk menyampaikan hasrat penulis. Ayat-ayat yang dibina perlu mempunyai kesatuan dan penegasan supaya ada hubungkait setiap idea.
Kreativiti penulis banyak bergantung kepada pilihan ragam ayat, jenis ayat dan bentuk ayat. Contohnya, ada penulis yang suka menggunakan ayat songsang dan ragam menaik.

3. Gaya Bahasa

Setiap penulis menggunakan gaya bahasa tersendiri. Gaya bahasa ialah cara dan stail berbahasa untuk menyerlahkan adunan fikiran supaya karya yang dihasilkan ada gaya. Contohnya karya Shahnon Ahmad suka menggunakan kata dan ayat yang berulang-ulang manakala sajak Nahmar Jamil agak kaya dengan kata-kata daripada bahasa Arab.

4. Pemerengganan

Sesuatu idea yang dilahirkan perlu memperlihatakan kesatuan isi yang boleh membentuk satu aliran huraian yang logik dan sistematik supaya pembaca dapat mengikuti perkembangan sesuatu idea yang ingin disampaikan oleh penulis tersebut. Setiap idea itu berkaitan dalam perenggan-perenggan yang dibina supaya ada pertautan idea untuk melancarkan jalan cerita. Ini dapat memudahkan pembaca memahami keseluruhan karya. Tanpa pertautan yang kukuh idea dalam karya tersebut akan nampak terpisah-pisah dan tidak tersusun.

5. Tema

Penglahiran idea dalam karya kreatif perlu berfokus kepada persoalan pokok. Persoalan pokok itulah dinamakan tema. Tema dapat mengawal sesebuah karya kreatif supaya tidak terkeluar semasa memilih dan menyusun idea selanjutnya.

6. Bentuk

Bentuk-bentuk karya ditentukan oleh jenisnya. Contohnya, pantun ada ciri-ciri penulisannya yang terikat berbanding dengan sajak yang lebih bebas. Cerpen dan novel adalah agak sama bentuk. Perbezaan yang nyata hanya terletak pada bilangan perkataan, persoalan dan jalinan cerita . Sementara drama pula mengandungi babak, adegan dan dialog.


Penulisan kreatif dalam Sukatan Pelajaran KOMSAS

Beberapa kemahiran penulisan kreatif dalam Sukatan Pelajaran KOMSAS ialah :

3.5.1 Menulis karya berdasarkan lakaran dan catatan dengan menggunakan bahasa yang indah.

3.6.1 Menyususn peristiwa mengikut urutan bagi membina plot cerita.

3.15.1 Membina ayat yang puitis dalam bait atau perenggan.

3.18.1 Menulis karya kreatif dalam bentuk surat dan catatan harian.

3.19.1 Menulis dialog dan skrip drama.

3.20.2 Menghasilkan pelbagai karya prosa.

3.23.1 Menghasilkan pelbagai karya puisi ( pantun, syair, sajak, gurindam dan
seloka )

Apakah kemahiran menulis?

Kemahiran menulis dan mengarang adalah sebahagian daripada kemahiran bahasa yang penting dan perlu dikuasai oleh pelajar. Oleh itu, strategi pengajaran dan pembelajaran dalam kemahiran menulis ini perlu menarik dan berkesan kerana faktor yang mempengaruhi pelajar-pelajar menulis lebih bertumpu kepada desakan luaran iaitu desakan daripada guru khasnya, selain ibu bapa dan rakan. Jika pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan dapat memotivasikan pelajar sudah tentu kemahiran menulis dan mengarang ini terbina dengan baik dan boleh dibantu oleh desakan dalaman
( intrinsic motivation) yang menimbulkan minat mereka untuk menulis. Matlamat jangka panjangnya akan lahirlah pelajar-pelajar yang minat menulis dan menjadikannya sebagai sebahagian daripada aktiviti kerja-kerja menulis ini ‘natural’ bagi mereka.

Kertas kerja dibentang pada Seminar Pedagogi Sastera, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia dan Institut Bahasa Melayu Malaysia.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home